Mengandung? Apa langkah seterusnya yang patut saya buat?

Kandungan biasanya dapat dikesan setelah period (haid) dirasakan sedikit lewat dari tarikh yang sepatutnya. Cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan Urine Pregnancy Test (UPT) yang boleh didapati dari farmasi/ klinik swasta. Ujian ini biasanya positif pada 4-5 minggu kandungan namun sedikit berbeza bergantung pada alat UPT tersebut.

Setelah mendapati ujian UPT anda positif, boleh lah mula mengambil supplemen seperti folic acid/ obimin. Folic acid biasanya dinasihatkan diambil awal sejak anda merancang untuk mengandung lagi, kerana ianya sangat penting untuk pembentukan janin dan mengelakkan perkara serius seperti Spina Bifida.

Langkah seterusnya ialah untuk pengesahan kandungan. Biasanya ultrasound awal akan dilakukan untuk mengesan usia kehamilan serta kedudukan janin di tempat yang sepatutnya (bukannya di luar rahim/ ectopic pregnancy). Anda boleh berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan/ klinik swasta untuk menjalankan ultrasound. Kantung baby (gestational sac) boleh dikesan seawal 5 minggu kandungan. Manakala janin/ degupan jantung lazimnya dapat dikesan seawal 7 - 8 minggu. Saiz kantung/ janin akan diukur untuk dapatkan usia kandungan dan menentukan tarikh bersalin (expected date of delivery/ EDD). Ultrasound yang dilakukan lebih awal (8 - 12 minggu) adalah lebih tepat untuk menentukan EDD berbanding ultrasound yang lebih lewat. Tarikh hari pertama haid kali terakhir juga sangat penting (hanya untuk wanita - wanita yang mempunyai kitaran haid yang normal) untuk mengira EDD atau usia janin. 

Kemudian, anda dinasihatkan untuk mendaftar pemeriksaan antenatal, seeloknya seawal 12 minggu kandungan. Lagi awal lagi afdhal. Penjagaan yang betul boleh dimulakan lebih awal untuk memastikan perkembangan janin yang optimum. Pemeriksaan antenatal boleh dilakukan di klinik kesihatan/ klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan tersebut. 

Ketika lawatan pertama untuk pemeriksaan antenatal, ibu-ibu perlu didaftarkan di dalam sistem dan butiran asas perlu direkod. Selain itu, sangat penting untuk mengetahui tentang sejarah perubatan, sejarah kehamilan sebelum ini (kalau bukan kandungan pertama), sejarah bersalin dan tempat bersalin, keadaan bayi sebelumnya dan sebagainya. Anda akan diberi buku pink (khas untuk rekod ibu mengandung) di mana buku pink tersebut perlu disimpan dan dijaga dengan baik. 

Antenatal screening (ujian darah asas) akan dilakukan untuk pemeriksaan paras Hemoglobin (Hb), kumpulan darah dan Rhesus (blood grouping), infective screening seperti VDRL (syphillis), Hepatitis B dan HIV. Kemudian pemeriksaan fizikal juga perlu dilakukan (ketinggian, berat badan, tekanan darah). Ujian air kencing juga dilakukan pada setiap kali lawatan untuk mengesan kehadiran glukosa (glucose) dan albumin (protein). Gula digunakan untuk mengesan diabetes ketika kehamilan manakala kehadiran protein boleh disebabkan beberapa perkara (tanda masalah buah pinggang ataupun menandakan pre-eklampsia (darah tinggi ketika hamil).

Jika ibu hamil tersebut mempunyai faktor risiko untuk kecing manis, maka ibu tersebut perlu menjalani ujian MGTT (air gula). 

Rutin ultrasound biasanya dilakukan dua kali; sekali pada trimester pertama/ kedua untuk mengesahkan tempoh kehamilan, mengenalpasti sebarang kecacatan dan jumlah fetus. Kali kedua adalah semasa trimester ketiga untuk memastikan perkembangan bayi yang optimum, jumlah air ketuban yang mencukupi, kedudukan uri (placenta) yang betul. Ini juga penting untuk menentukan kaedah bersalin nanti.

Ibu mengandung juga perlu menjalani suntikan anti tetanus (ATT) biasanya pada 18 - 24 minggu (ketika pergerakan awal bayi dapat dikesan). Untuk kehamilan pertama, perlu dapatkan booster (penggalak) selepas 4-6 minggu selepas dos pertama. Untuk kandungan kedua dan seterusnya cuma memerlukan satu kali imunisasi sahaja. Jika kehamilan pertama 5 tahun yang lalu, anda akan menerima 2 kali suntikan.

Selain daripada folic acid, anda juga perlu mengambil supplemen tambahan iaitu ferous fumarate (iron), vitamin c, dan vitamin kompleks. Ini penting untuk perkembangan bayi yang optimum dan memastikan ibu tersebut tidak mengalami anemia (Hb rendah).

Jumlah lawatan (antenatal check up) sepanjang kehamilan adalah sekitar 8 kali. Sebulan sekali dari mula lawatan pertama, sehingga 32 minggu. Apabila memasuki tempoh 32 minggu, anda perlu datang 2 minggu sekali. Selepas 36 minggu, seminggu sekali check up perlu dilakukan sampai la anda bersalin.

Namun begitu, jika sepanjang kehamilan anda menghadapi masalah berkaitan ibu/ bayi, biasanya tempoh check up akan lebih kerap untuk pemantauan optimum. Anda mungkin perlukan rujukan pakar jika mempunyai masalah.

Apabila memasuki usia kandungan 34 minggu, biasanya anda sudah perlu buat keputusan di mana anda mahu melahirkan. Samaada di hospital kerajaan/ swasta. Apa yang penting, buku rekod mengandung anda perlu sentiasa lengkap dan mematuhi setiap tarikh check up.

Kami mendoakan yang terbaik untuk anda dan semoga perjalanan sepanjang kehamilan anda dipermudahkan Allah. Enjoy your pregnancy!! :))
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Jika anda berminat untuk melakukan antenatal check up di Poliklinik Mazlina, kami amat mengalu - alukan kedatangan anda. Boleh baca entri INI untuk keterangan lebih lanjut.  

Rujukan: www.mmgazzete.com (kredit: Dr Ayu Akida)

Poliklinik Mazlina
Taman Pulai Utama
Skudai
07 595 3175






Share:

0 comments